Friday, December 17, 2010

gomen yang ajar agar ngaku gila...

Bayi dikandung gagal diselamat
Oleh Salman Hamat dan Ahmad Othman
am@hmetro.com.my
PILU...ibu mangsa, Tuminah (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya di HSI, semalam. KOTA TINGGI: Seorang remaja berusia 17 tahun yang hamil kini bertarung dengan maut di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat ditikam 19 kali serta disimbah asid oleh seorang lelaki dikenalinya di rumahnya di Kampung Baru Sungai Redan, Ulu Tiram, di sini, pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.15 pagi ketika mangsa, Nur Ain Ashikin Jemedi berada di rumah bersama adik perempuannya, Nurrehan Jemadi, 13, serta anak saudara apabila pintu rumah ditendang penyerang lalu berlaku pertengkaran sebelum mangsa ditikam bertubi-tubi.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin, berkata sebahagian besar tikaman mengenai perut mangsa dan pihak hospital mengesahkan kandungan mangsa berusia enam bulan sudah meninggal dunia, namun mangsa masih terselamat.


Menurutnya, selepas menikam mangsa, lelaki yang melakukan serangan itu keluar dan mengambil asid dipercayai ditinggalkan di belakang pokok berhampiran sebelum dia memasuki rumah mangsa dan mengisi cecair itu ke dalam gayung.


“Dia masuk semula ke dalam rumah lalu menyimbah asid mengenai kepala serta badan mangsa. Mangsa menyelamatkan diri dengan berlari ke bilik air, tetapi lelaki itu mengekorinya dan menikam mangsa di kaki serta tangan.


“Lelaki itu meninggalkan rumah mangsa dan menyerah diri di Balai Polis Ulu Tiram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, semalam.



Menurut Muhammad, suspek yang berumur 44 tahun ditahan untuk siasatan dan pihaknya sudah menemui pisau yang dipercayai digunakan menikam mangsa.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati motif serangan itu ialah cemburu dan polis sudah mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan.


“Dua jam sebelum kejadian, suspek datang ke rumah mangsa dan berlaku pertengkaran sebelum lelaki terbabit pulang ke rumahnya yang terletak berdekatan. Tidak lama kemudian, suspek kembali ke rumah mangsa lalu menyerang wanita berkenaan,” katanya.


Beliau berkata, mangsa yang dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, kini kritikal kerana hampir 70 peratus badannya melecur selain kecederaan akibat tikaman.


“Suspek yang bekerja sendiri dan berasal dari Kampung Air Puteh, Nam Heng, kini direman hingga 23 Disember ini. Polis masih meneruskan siasatan berkaitan kematian janin mangsa berikutan tiada kesan tikaman mengenainya,” katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan 326 Kanun Keseksaan.

1 comment:

  1. ‘Aku cucuk Ain’

    JOHOR BAHRU: “Aku dah cucuk Ain itu yang dikatakan suspek ketika menghubungi saya beberapa minit selepas kejadian. Saya pada mulanya tidak percaya, tetapi syak berlaku perkara buruk apabila melihat adik bongsu Ain meraung di tepi jalan meminta bantuan.

    “Sejurus masuk ke rumah Ain, saya terhidu bau asid yang kuat selain kesan darah sebelum melihat mangsa terbaring tidak sedarkan diri di bilik air,” kata Abdul Rahman Sabtu, 44, di sini, semalam.


    Abdul Rahman ditemui di rumah Nurain Ashikin Jemedi, 17, yang parah selepas ditikam 19 kali dan disembah asid oleh penyerangnya dalam kejadian di Kampung Baru Sungai Redan, di sini, pagi semalam.


    Menceritakan semula kejadian, Abdul Rahman berkata dia yang baru bangun daripada tidur dikejutkan dengan panggilan suspek berusia 42 tahun itu mengatakan sudah menikam Ain.


    Risau dengan mangsa yang dianggap seperti adik sendiri, dia bersama jiran lain bergegas ke rumah Nurain berhampiran.


    Abdul Rahman bagaimanapun terkejut dengan keadaan mangsa yang berlumuran darah manakala kulit muka dan bahagian badan lain mula luruh akibat disimbah asid.



    “Dalam keadaan cemas saya melihat mata mangsa terbeliak manakala gigi bertukar menjadi hitam dipercayai akibat terkena asid.


    “Kami cuba membantu, tetapi risau akan memburukkan keadaan lalu menghubungi ambulans yang tiba setengah jam kemudian,” katanya.


    Sementara itu, kakak mangsa Suraidah, 27, yang ditemui di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) berkata, dia dimaklumkan berkaitan kejadian oleh adik bongsunya, Nurreha, 13, lalu bergegas ke rumah adiknya.


    Menurut Suraidah, ketika kejadian, ibunya Tuminah Samsuri, 54, keluar menoreh getah di kebun di belakang rumah dan kejadian disaksikan Nurreha serta seorang anak saudara mereka.


    “Kami sekeluarga mengenali suspek dan tahu dia ada menaruh perasaan kepada, Ain tetapi kerana jarak umur, hasratnya itu tidak dilayan adik.


    “Walaupun ditolak, dia masih menyimpan perasaan itu dan sering berkunjung ke rumah kami kerana sebelum ini rapat dengan arwah ayah yang mengambilnya sebagai anak angkat,” katanya.

    ReplyDelete