Wednesday, December 8, 2010

gomen lah "penjenayah" sebenarnya...

'Henti tohmahan'

SEREMBAN: “Kami tidak pernah menyusahkan sesiapa dan berharap tohmahan seumpama itu dapat dihentikan segera,” demikian kata Pengerusi Rumah Lindungan Kasih, Taman Suria, Tampin, Anuar Ujang.

Beliau mengulas mengenai dakwaan segelintir pihak yang melabelkan pusat jagaan berkenaan seperti ‘rumah pelacur’, ‘rumah bohsia’ dan ‘rumah budak jahat’.


Pusat jagaan yang mula beroperasi sejak 2008 itu terdiri daripada sembilan unit rumah teres satu tingkat dengan menempatkan semua kanak-kanak dan remaja perempuan berusia antara lapan hingga 24 tahun membabitkan anak yatim, miskin dan teraniaya. Menurutnya, pusat itu diselia dua warden atau penjaga yang sentiasa mengawal kawasan berkenaan 24 jam membabitkan dua syif.


“Kira-kira 40 penghuni berada di bawah pengawasan kita dan program disediakan di sini merangkumi beberapa aktiviti seperti riadah, kelas mengaji al-Quran, berzanji, Yassin serta tuisyen atau kelas tambahan sebelum penghuni diminta tidur di kediaman masing-masing, kebiasaannya sekitar jam 11 malam.


“Berikutan itu, tidak timbul isu mereka bertindak keluar untuk melakukan perbuatan tidak senonoh kerana kawasan ini dikawal ketat,” katanya di sini, semalam.


Beliau berkata, pihaknya berharap masyarakat setempat tidak melemparkan tohmahan melampau, sebaliknya tampil memberikan sokongan sepenuhnya kepada penghuni untuk meneruskan kehidupan mereka. “Semua ini kerja kebajikan dan kami bukan mahu bermegah. Apa yang penting membantu golongan memerlukan tidak kira anak yatim atau mereka yang bermasalah.



“Tohmahan seumpama ini turut memberi kesan psikologi kepada penghuni termasuk saya,” katanya.


Menurutnya, pihaknya kini sedang memperbaharui surat kebenaran dan akuan pusat jagaan itu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meneruskan operasi di kawasan terbabit.


Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi berkata, pihaknya setakat ini belum menerima laporan berkaitan wujud kegiatan haram di pusat jagaan berkenaan sama ada pelacuran atau persundalan.


“Polis sememangnya sentiasa menjalankan pemantauan dan rondaan di semua kawasan termasuk pusat berkenaan, namun belum melihat sebarang kegiatan tidak sepatutnya di situ,” katanya.


Harian Metro baru-baru ini menganjurkan aktiviti gotong-royong menambah baik keadaan Rumah Lindungan Kasih berkenaan sempena Program Titipan Kasih HM Khas Sempena Sambutan Ulang tahun ke-20 akhbar nombor satu negara itu.


Selain itu, HM berbesar hati menghulurkan sumbangan ikhlas termasuk barangan makanan, komputer, almari pakaian, alat penghawa dingin serta kipas angin untuk kemudahan dan keperluan kira-kira 40 penghuni pusat jagaan berkenaan.

No comments:

Post a Comment