Polis PJ edar kad sektor kepada orang ramai
2011/01/10
PETALING JAYA: Polis Petaling Jaya hari ini mengedarkan kad sektor konstabel polis kepada orang ramai bagi memudahkan kerja-kerja kepolisan dilaksanakan di daerah itu.Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed, berkata setiap keping kad sektor itu akan mempamerkan nama dan nombor telefon konstabel polis yang ditugaskan menjaga keselamatan di sesebuah kawasan di daerah berkenaan.
Beliau berkata tujuan utama kad itu adalah untuk merapatkan hubungan anggota polis bawahan dengan penduduk daerah itu sekaligus memudahkan kerja-kerja polis dalam menjaga ketenteraman dan keselamatan awam.
"Buat permulaan kita sasarkan kepada kawasan-kawasan kediaman. Jika sebelum ini penduduk hanya mengenali Ketua Polis Daerah atau Ketua Polis Balai tetapi kali ini kita mahu mereka kenal dengan anggota bawahan dan siapa yang menjaga atau mengawal kawasan kediaman mereka.
"Melalui kad ini, setiap penduduk boleh menghubungi anggota yang bertugas dan mereka boleh membuat laporan atau sebarang aduan berhubung kes jenayah yang berlaku di kawasan tempat tinggal mereka," katanya.
Arjunaidi berkata, menerusi pendekatan itu beliau berharap para penduduk akan turut serta berganding bahu membanteras jenayah bersama polis dalam mengurangkan kadar jenayah sepanjang tahun ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment