Tuesday, January 18, 2011

BN = Berasuah Nyaman...

Sindiket jual bayi dapat bantuan orang dalam JPN
Oleh Safeek Affendy Razali
bhnews@bharian.com.my
2011/01/19

ANGGOTA polis menyelamatkan seorang bayi  dalam proses untuk dijual dalam serbuan di klinik swasta di Selayang, kelmarin.
ANGGOTA polis menyelamatkan seorang bayi dalam proses untuk dijual dalam serbuan di klinik swasta di Selayang, kelmarin.
Habuan lumayan dengan menyediakan sijil lahir, cop rasmi

KUALA LUMPUR: Sindiket penjualan bayi yang ditumpaskan di sekitar Lembah Klang, Sabtu lalu dipercayai turut dibantu kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan menguruskan sijil kelahiran bagi 22 bayi yang berjaya diselamatkan polis dalam operasi khas itu.
Difahamkan, pegawai JPN menerima upah separuh daripada harga jualan setiap bayi iaitu RM15,000 hingga RM20,000 oleh sindiket yang didalangi dua wanita tempatan sejak akhir tahun lalu.
Sumber memberitahu Berita Harian, ‘orang dalam’ JPN memperoleh pendapatan lumayan melalui kegiatan haram itu dengan hanya menyediakan sijil lahir berserta cop rasmi agensi berkenaan.

“Pembabitan `orang dalam’ dikesan ekoran penemuan dokumen sijil kelahiran bersama semua bayi yang terbabit dalam urus niaga haram itu. Pemeriksaan mendapati semua sijil lahir itu mempunyai cop rasmi JPN yang hanya dikeluarkan JPN,” katanya.

Dalam operasi itu, Unit Anti-Pemerdagangan Orang (ATIP) dan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman menahan lapan anggota sindiket itu, termasuk empat wanita warga asing berusia 20 hingga 50 tahun dalam serbuan di sebuah klinik swasta di Selayang dan sebuah rumah di Subang Jaya.

Turut diselamatkan dalam operasi itu tiga bayi berusia lima hingga tujuh hari yang dalam proses untuk dijual.
Di samping itu, polis turut menemui beberapa dokumen berkaitan pengeluaran sijil kelahiran, buku rekod dan wang tunai RM3,000.

“JPN terkejut dengan tindakan pegawainya yang sanggup bersekongkol dengan sindiket itu semata-mata untuk mendapatkan keuntungan sampingan,” katanya.

Di PUTRAJAYA, Ketua Pengarah JPN, Datuk Alwi Abdul Rahman, berkata siasatan dalaman sedang dilakukan ke atas semua pegawai dan kakitangannya berikutan pendedahan itu.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terbabit dalam kegiatan haram ini. JPN akan turut memperincikan semula prosedur pendaftaran kelahiran, termasuk mencatatkan jumlah sijil dikeluarkan bagi mengelak ia disalah guna untuk tujuan jenayah.

“Kita juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti klinik disyaki bersubahat,” katanya ketika ditemui Berita Harian, semalam.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan sijil kelahiran ‘LN01’ dan `LN05’ juga boleh diperoleh di hospital kerajaan dan klinik swasta.

“Beberapa klinik swasta sekitar ibu negara juga disenaraihitamkan sebelum ini selepas dikenal pasti terbabit dalam kegiatan meragukan. Kita sedang siasat klinik terbabit bagi mengesan kepada siapa, ke mana dan untuk apa sijil kelahiran dikeluarkan,” katanya.

Alwi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan penyelewengan sijil kelahiran menghubunginya terus di talian 03-88807001.

1 comment:

  1. Tekong laut kaut RM4,000 sehari
    Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman
    uminadirah@bharian.com.my
    2011/01/19
    Pendatang asing bayar RM400 seorang untuk seludup masuk ke Malaysia

    JOHOR BAHRU: Kesukaran memasuki Malaysia menyebabkan tekong laut yang menyeludup pendatang tanpa izin dari negara jiran mengutip tambang sehingga RM400 seorang.
    Tambang tinggi itu membolehkan mereka mengutip sehingga RM4,000 setiap kali membawa 10 pendatang tanpa izin dengan menaiki bot dilengkapi enjin kuasa tinggi mencapai 400 kuasa kuda.
    Penggunaan enjin kuasa tinggi itu membolehkan tekong laut berulang-alik antara negara jiran dengan kawasan tumpuan pencerobohan negeri ini dalam tempoh singkat apabila hanya mengambil masa kira-kira 30 minit bagi satu perjalanan, jika gagal dipintas pihak berkuasa negara ini.

    Komander Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Mohd Khamsani Abd Rahman, berkata pihaknya mengenal pasti pantai sekitar Pengerang, Desaru dan Sungai Rengit di Kota Tinggi, menjadi tumpuan pencerobohan.

    “Penggunaan bot berkuasa tinggi menjadi modus operandi penyeludup kerana di sesetengah lokasi, jarak antara dua negara hanya kira-kira empat batu nautika yang mampu direntasi dalam masa setengah jam.

    “PGM tidak menolak kemungkinan (hasil lumayan) serta faktor geografi dua negara memudahkan kegiatan penyeludupan secara aktif, walaupun setakat ini, kita belum mengetahui jumlah sebenar perjalanan dibuat dalam sehari,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
    Turut hadir Ketua Bahagian Risikan dan Operasi PGM Wilayah Dua, Rosman Ismail.

    Mohd Khamsani berkata, berdasarkan soal siasat terhadap pendatang tanpa izin yang berjaya ditahan selepas bot kuasa tinggi dinaiki mereka dipintas PGM, mereka mendakwa membayar RM400 kepada tekong bot untuk cubaan pencerobohan itu.

    Katanya, walaupun kadar tambang terbabit dianggap tinggi, namun pendatang tanpa izin masih sanggup mengambil risiko dan membayarnya demi menceroboh negara ini semata-mata untuk mencari pekerjaan.

    “Menyedari pelbagai taktik dan modus operandi pencerobohan pendatang tanpa izin itu, PGM kini meningkatkan pemantauan di kawasan yang dikenal pasti, selain memantau kemasukan melalui laluan sah dalam usaha membendung kemasukan warga asing untuk bekerja secara haram di negara ini,” katanya.

    Beliau mengakui usaha membanteras pencerobohan pendatang tanpa izin memerlukan kerjasama semua pihak termasuk penduduk di pesisir pantai untuk tampil menyalurkan maklumat.

    Katanya, selain tindakan mengikut Akta Imigresen, PGM juga tidak teragak-agak mencadangkan tindakan mengikut undang-undang pencegahan seperti Ordinan Darurat terhadap tekong yang ditangkap menguruskan pencerobohan.

    “Selain faktor geografi yang terlalu hampir, pencerobohan juga berlaku berikutan faktor ekonomi yang kurang baik di negara sendiri serta faktor politik yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan di kalangan pendatang tanpa izin,” katanya.

    ReplyDelete